2011年7月5日星期二

Mengenai Himpunan Besar-besaran dan ‘Perarakan Demokrasi’ 709 di Kuala Lumpur

Maklumat Dari: http://suaramjb1.blogspot.com/2011/07/kenyataan-lanjutan-jawatankuasa-sahabat.html


Kenyataan Lanjutan Jawatankuasa Sahabat SUARAM Negeri Johor 5hb Julai 2011 (Hari Selasa):

Mengenai Himpunan Besar-besaran dan
‘Perarakan Demokrasi’ 709 di Kuala Lumpur

Selepas mengeluarkan kenyataan bertajuk ”Mengenai Himpunan Besar-besaran dan ‘Perarakan Demokrasi’ 709 di Kuala Lumpur” yang pertama pada Jun 22, Jawatankuasa Sahabat SUARAM Negeri Johor (FOS Johor) mengeluarkan 4 kenyataan lanjutan seperti di bawah. Kenyataan ini menumpu pada keadaan semasa di mana BERSIH 2.0 diisytiharkan sebagai ”Pertubuhan Haram” oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di mana perhimpunan besar-besaran dan ’Perarakan Demokrasi’ 709 begitu dekat sekali, di mana golongan pemerintah UMNO BN giat menunjuk-nunjuk taring dengan jentera pemerintahan dalam menakut-nakutkan BERSIH 2.0 dan barisan pimpinannya, dan di mana Kementerian dalam Negeri juga memfokuskan tindakan penumpasan terhadap BERSIH 2.0 dan barisan pimpinannya:

1.Himpunan Besar-besaran dan ‘Perarakan Demokrasi’ 709 di Kuala Lumpur Mewakili Harapan bersama Rakyat Berbilang Kaum

Menjelang pilihanraya umum ke-13, perhimpunan besar-besaran dan ‘perarakan demokrasi’ 709 merupakan gerakan kesinambungan daripada perhimpunan besar-besaran pada 10hb November 2007 yang menyaksikan 40 ribu orang turun ke jalan raya di Kuala Lumpur untuk melaungkan seruan menuntut refomasi pilihanraya. Sekali lagi BERSIH 2.0 menfokus pada kegagalan kerajaan Barisan Nasional yang didominasi oleh UMNO memenuhi aspirasi rakyat


berbilang kaum dalam menuntut reformasi pilihanraya. Dengan mengemukakan tuntutan dan mengatur tindakan yang adil, munasabah, dan sah dari segi undang-undang, BERSIH 2.0 akan mengemukakan 8 tuntutan reformasi sistem pilihanraya kepada Yang Dipertuan Agung Negara kali ini.



Berdasarkan pengalaman pahit sejak kemerdekaan negara pada 54 tahun yang lepas, rakyat berbilang kaum telah sedar sepenuhnya terhadap ciri sebenar golongan hegemoni UMNO yang anti-rakyat. Pada masa yang sama, rakyat juga sudah jelas bahawa golongan pimpinan dalam parti-parti komponen BN yang lain (terutamanya Malaysian Chinese Association - MCA, Parti Gerakan Rakyat Malaysia - Gerakan, Sarawak United Peoples' Party - SUPP dan Malaysian Indian Congress - MIC) sanggup bersuhabat dengan pemerintahan hegemoni UMNO. Dalam keadaan ini, dibawah sistem berperlembagaan kini, rakyat berbilang kaum secara naluri menaruh harapan reformasi masyarakat dan pembaikan kehidupan ke atas parti pembangkang di parlimen dan segolongan pemimpin yang pro-rakyat. Berdasarkan pengajaran pengalaman yang berpanjangan, juga menjadi naluri bagi rakyat berbilang kaum mangharapkan sistem pilihanraya di negara ini adalah bersih dan adil agar dapat melantik wakil rakyat yang berani menyuarakan keinginan rakyat, sehingga menghasilkan kerajaan di peringkat negeri dan pusat yang dapat mempertahankan kepentingan rakyat.



Kesimpulannya, kegiatan perhimpunan besar-besaran dan ‘perarakan demokrasi’ 709 yang digerakkan dan dipimpin oleh kepimpinan BERSIH 2.0, merupakan tindakan yang adil menuntut reformasi sistem pilihanraya. Tindakan ini dikemukakan oleh NGO-NGO yang mewakili aspirasi bersama rakyat berbilang kaum, kepada kerajaan BN yang didominasi oleh UMNO. Namun, kepimpinan UMNO-BN dengan sengajanya memutar-belitkan tindakan rakyat jelata yang munasabah dan sah dari segi undang-undang tersebut sebagai tindakan parti pembangkang “bersekongkol dengan agen asing”, “memerangi Yang Dipertuan Agung”, “menggulingkan rejim negara” dan lain-lain. Selain itu, demi menggagalkan perjuangan yang adil tersebut, kepimpinan UMNO-BN menggunakan semua jentera negara dan pertubuhan-pertubuhan di bawah naungan parti pemerintah dalam membuat-buatkan keadaan yang gerun, sebagai persiapan pendapat awam dan media massa untuk melancarkan represi sepenuhnya. Kesemua reaksi mereka tersebut telah mendedahkan sepenuhnya ciri sebenar mereka yang anti-rakyat.



2. Perhimpunan Besar-besaran dan 'Perarakan Demokrasi' 709 Membawa Impak Kuat terhadap Kedudukan Pemerintahan BN

Sejak kemerdekaan negara pada 31hb Ogos 1957 hingga suara tuntutan reformasi pilihanraya dibangkitkan dalam perhimpunan BERSIH pada 10hb Nov 2007, golongan pemerintah Perikatan dan BN yang didominasi oleh UMNO telah menjadi ”kerajaan lantikan rakyat” dengan stabil selama separuh abad. Mereka telah memperalatkan ”peraturan permainan” sistem pilihanraya yang direkacipta bersama oleh kerajaan penjajah Inggeris dan golongan pemerintah Melayu agar melindungi kedudukan mereka dengan selamatnya. Namun, rakyat jelata berbilang kaum telah sedar melalui pengalaman diri sendiri penipuan kerajaan Perikatan dan BN yang didominasi oleh UMNO selama 50 tahun! Rakyat telah sedar bahawa salah satu punca utama kepada masalah-masalah kerajaan memeras kekayaan rakyat, pegawai awam rasuah dan korup berleluasa, jurang perbezaan kekayaan antara kaya dan miskin begitu ketara, dan rakyat semakin menderita adalah ”peraturan permainan” sistem pilihanraya yang tidak munasabah mengikut sistem berperlembagaan sekarang, dan golongan pemerintah hegemoni UMNO yang dihasilkan melalui ”peraturan permainan” yang tidak munasabah tersebut.




Terutamanya masyarakat Melayu dan India telah bangkit secara besar-besaran. Dua perkara yang simbolik kebelakangan ini ialah (1) pada 10hb Nov 2007, suara menuntut reformasi sistem pilihanraya yang dilaung-laungkan dalam perhimpunan lebih kurang 40 ribu orang di bawah pimpinan BERSIH; (2) pada 25hb Nov 2007 (2 minggu selepas perhimpunan BERSIH) Hindu Rights Action Force Committee atau HINDRAF mengetuai lebih kurang 30 ribu orang India menyerahkan memorandum kepada Kedutaan British agar menuntut pampasan kerugian daripada kerajaan British. Kerugian yang dimaksudkan adalah derita dan kepahitan yang dialami oleh masyarakat India sejak dihijrah secara paksa ke negara kita lebih 100 tahun yang lepas. Walaupun dua tindakan tersebut tidak membawa hasil, rakyat berbilang kaum negara kita telah dididik mengenai kepentingan memahami hak demokrasi dan reformasi pilihanraya. Dalam dua kejadian itu, rakyat juga telah melahirkan desakan untuk bersatu dan bangkit menentang pemerintahan hegemoni. Kesedaran rakyat telah menimbulkan ribut tuntutan reformasi rakyat 308 dalam pilihanraya umum 2008. Akhirnya, golongan pemerintah UMNO-BN kehilangan kedudukan majoriti dua pertiga dalam parlimen dan kuasa pemerintahan di 5 negeri. MCA, Gerakan dan MIC yang merupakan parti komponen BN telah mengalami kegagalan yang paling teruk dalam sejarah.



Tindakan BERSIH 2.0 kali ini akan melahirkan perhimpunan yang lebih besar dan suara tuntutan reformasi pilihanraya yang lebih lantang daripada tindakan BERSIH yang lepas. Adalah sangat pasti bahawa perhimpunan besar-besaran dan ’Perarakan Demokrasi’ 709 akan memberi impak yang serius ke atas kedudukan pemerintahan BN. Kelihatan ketewasan teruk SUPP (pernah menentang parti pemerintah pada masa dahulu, telahpun dipancing ke dalam BN) dalam pilihanraya DUN Sarawak baru-baru ini di mana George Chan selaku bekas Naib Ketua Menteri negeri Sarawak dan beberapa orang tokoh penting terpaksa turun dari kedudukan dalam kerajaan setelah ”dibuang” oleh rakyat. Di samping itu, pengundi Singapura menyuarakan reformasi demokrasi dengan lantang dalam pilihanraya di Singapura yang lepas, sehingga memaksakan Lee Kuan Yew yang terkenal dengan sikap diktator terpaksa berundur dari kabinet. Golongan pemerintah UMNO-BN memahami kesemua hala tuju arus kebangkitan demokrasi rakyat di sekeliling. Apabila perhimpunan besar-besaran 709 dan ”Perarakan demokrasi” yang makin hari makin berhampiran, kepimpinan golongan pemerintah UMNO-BN berdepan dengan sesuatu kegiatan di mana impak dan pengaruhnya tidak dapat dijangka dan diramal. Dalam suasana ini, melainkan dari asyik cemas dan gentar, apa reaksi lagi mereka akan ada?



3. Bersih 2.0 Menekankan Himpunan Aman manakala Golongan Pemerintah UMNO-BN menunjuk taring

Selepas segala penipuan dan ugutan gagal menakutkan rakyat, kerajaan BN menjatuhkan air muka sendiri dengan mengumumkan bahawa T-shirt kuning Bersih 2.0 adalah haram, diikuti dengan pengisytiharan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui satu kenyataan oleh Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Abdul Rahman Othman bahawa Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (BERSIH 2.0) di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966, merupakan pertubuhan haram berkuatkuasa 1hb Julai atas alasan-alasan berikut:
1. Bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini;
2. Menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu; dan
3. Melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.



Kenyataan utuh di depan mata rakyat ialah :

1. Bersih 2.0 merupakan satu gabungan terbentuk daripada kumpulan pertubuhan yang berdaftar. Ia tidak perlu didaftarkan lagi di bawah Akta Pertubuhan 1966. Dengan kata lain, Bersih 2.0 merupakan gabungan yang dibentuk oleh 62 badan bukan kerajaan (NGO) (atau selalu dikenali sebagai “kumpulan masyarakat sivil/madani”) sah di Malaysia, yang bertujuan memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.



2. Bersih 2.0 hanya memperjuangkan reformasi sistem pilihan raya dengan merealisasikan “8 Tuntutan”, supaya rakyat negara kita dapat menikmati pilihan raya yang bersih dan adil, dan seterusnya memilih satu kerajaan yang bersih dan adil. Bersih 2.0 bukan parti politik, dan tidak akan menghantar calon untuk bertanding dalam pilihan raya, apatah lagi Bersih 2.0 akan menggulingkan kerajaan atau merampas kuasa.



3. Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga telah berulang kali menekankan bahawa Perhimpunan dan ‘Perarakan Demokrasi” 709 di Kuala Lumpur akan diadakan secara aman dan ini merupakan tindakan sah di mana rakyat mempraktiskan hak demokrasi yang termaktub di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.



4. Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga juga mengesyorkan pihak polis supaya menentukan lokasi dan laluan Perhimpunan 709 dan Perarakan Demokarsi, dan mencadangkan pihak polis untuk memantau aksi hari tersebut. Ini menunjukkan keikhlasan Bersih 2.0 untuk bekerjasama. Namun, cadangan berniat baik mereka untuk memastikan himpunan dijalankan dengan aman dan harmoni ini tidak mendapat balasan yang rasional dan munasabah daripada pihak polis.

5. Puak UMNO-BN angkuh menunjukkan taringnya, sebagai contoh: Pemuda UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dengan sewenang-wenang menganjurkan pehimpunan dan perarakan ‘Patriot’ anti-BERSIH bagi memprotes himpunan besar-besaran dan ‘Perarakkan Demokrasi’ 709 anjuran BERSIH 2.0; Pemimpin-pemimpin UMNO-BN melancarkan provokasi perkauman dan serangan peribadi ke atas pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Ambiga Sreenavasan, dengan melabelkan Ambiga seorang kafir yang “anti-Melayu dan anti-Islam”, ada pula(tanpa nama) yang mengugut untuk membunuh pemimpin BERSIH itu dan orang-orang sekeliling dia;
Ketua Menteri Melaka yang juga presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Mohd Ali Rustam mengumumkan dalam sidang akhbar pada 2hb Julai bahawa PESAKA yang mempunyai lebih 4 juta ahli akan menyeru ahlinya menyertai perarakan ‘Patriot’ anjuran Pemuda UMNO dan mempertahankan Istana Negara pada 9 Julai. Ali Rustam memberi amaran jika hura-hara berlaku, Ambiga yang harus bertanggungjawab. Ali Rustam juga mahu kerajaan persekutuan melucutkan taraf kewarganegaraan Ambiga, (laporan tentang percakapan Ali Rustam ini hanya terdapat pada media Bahasa Melayu) dan lain-lain.


Siapakah sebenarnya yang tengah mengancam dan menggugat kehidupan rakyat, ketenteraman awam dan keamanan Negara? Rakyat berbilang kaum mesti dapat mengenalpasti dan akan memberi keputusan yang adil setibanya masa yang sesuai.



4.Rakyat Berbilang Kaum Risau Perhimpunan Aman Disabotaj Tapi Tetap Tenang dan Berani

Bagi menggagalkan Perhimpunan Besar-besaran dan “Perarakan Demokrasi”709, disamping mengumumkan BERSIH 2.0 sebagai “pertubuhan haram”, golongan pemerintah UMNO-BN, melalui pertubuhan dan media massa kawalan mereka, sengaja menyamakan pelbagai aktiviti politik parti-parti pembangkang Parlimen dengan gerakan refomasi pilihan raya yang diterajui oleh BERSIH 2.0. Sejak BERSIH 2.0 melancarkan perhimpunan dan “Perarakan Demokrasi” 709 serta 8 tuntutan rasminya di pelbagai tempat seluruh negara, UMNO-BN telah giat menimbulkan kekeliruan di antara rakyat berbilang kaum dimana memberi gambaran palsu bahawa “BERSIH 2.0 adalah alat parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan”, supaya rakyat terus menyokong regim yang semakin goyah ini.



Antara lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mempergunakan satu kempen roadshow yang diadakan di beberapa bandar kecil Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia, masing-masing lebih kurang 30 orang, selama 3 hari (dari 24hb Jun hingga 26hb Jun), yang bertema “Udahlah tu…Bersaralah!(BN)” yang dirancangan dan dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pihak polis sengaja menyamakan dan cuba mengelirukan kempen anjuran PSM ini dengan gerakan refomasi pilihan raya BERSIH 2.0, agar orang ramai salah anggap bahawa BERSIH 2.0 turut bermotif “tamatkan pemerintahan BN sekarang” seperti PSM.


Di utara semenanjung, pihak polis telah menahan kesemua 30 ahli PSM, termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar Devaraj, dan medakwa meraka (PSM) berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong dan menghidupkan semula fahaman komunis dengan hanya berdasarkan beberapa helai kemeja-T yang bertulis nama pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM). Jeyakumar Devaraj dan 5 orang lagi telah ditahan selama 60 hari dibawah Ordinan Darurat (EO) tempoh hari, manakala 24 yang lain didakwa atas tuduhan bersama mengikut “Akta Pertubuhan 1966” dan “ISA”, dan dikenakan ikat jamin RM8,000 masing-masing pada 4hb Julai.





Di Selatan Semenanjung, walaupun perjalanan kempen anjuran PSM ini dihalang oleh pihak polis beberapa kali, 28 peserta kempen termasuk Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan, telah dibawa ke balai polis untuk mengambil kenyataan, tetapi semua peserta dilepaskan selepas itu. Yang peliknya, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa polis mendapati 2 daripada peserta itu merupakan ejen asing (seorang rakyat Filipina dan seorang gadis muda berbangsa Korea. ) Mereka ditahan dan kemudianya dihantar balik ke negara masing-masing. Tindakan KDN tersebut jelas adalah untuk member gambaran bahawa: 1) terdapat pihak yang sedang mengancam Yang Dipertuan Agong dan menggulingkan kerajaan Malaysia; 2) Ejen asing telah meresap kedalam aktiviti anti-kerajaan dalam negara, bagi mennakut-nakutkan orang ramai supaya menjarakkan diri daripada PSM dan lain-lain parti pembangkang; menakut-nakutkan orang ramai supaya menjarakkan diri daripada segala aktiviti politik yang menuntut “ mengubahkan kerajaan BN sekarang”; dan juga menakut-nakutkan orang ramai supaya menjarakkan diri daripada BERSIH 2.0 dan gerakan refomasi pilihan raya yang dilancarnya, terutamanya himpunan besar-besaran dan “ Perarakan Demokrasi” 709.



Sementara UMNO-BN menunjuk-nunjuk taring terhadap BERSIH 2.0 dan barisan pimpinannya, Kementerian Dalam Negeri turut terus menfokus dan menekan BERSIH 2.0 dan barisan pimpinannya, terutamanya selepas BERSIH 2.0 diumumkan sebagai “pertubuhan haram”. Keadaan ini mungkin menyebabkan rakyat berbilang kaum risau perhimpunan aman 709 akan disabotaj, tetapi rakyat tetap akan tenang dan berani menghadapinya. Ini kerana di saat-saat genting ini, pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga telah meberi panduan yang amat jelas kepada rakyat berbilang kaum:



“Bersih kini adalah rakyat dan maka, apa sahaja tindakan cuba dilakukan ke atasnya tidak akan membawa sebarang perbezaan terhadap pandangan orang ramai tentang perjuangannya.” “Lebih penting lagi, Bersih sekarang lebih daripada hanya satu kumpulan pertubuhan bagi rakyat Malaysia. Bersih kini satu konsep yang telah memikat hati dan minda rakyat.” [1]





没有评论: