Bagaimana ‘Jawatankuasa Mei Satu’ Malaysia Menyambut ‘Hari Pekerja Sedunia’
(Tahun 1994 – 2010)
Pengarang : Ngo Jian Yee
Penterjemah : Ang Pei Shan
(Petikan ini disediakan sempena majlis sambutan Hari Pekerja Sedunia Mei 1 yang bertema “Pekerja Berbilang Kaum Seluruh Negara, Bersatu Dari Perpecahan”anjuran Persahabatan Semparuthi, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Negeri Johor, Pusat Pembangunan Kebudayaan Ling Lian Geok (Jawatankuasa Perhubungan Johor Bahru) dan Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM Negeri Johor yang akan berlangsung pada 1hb Mei 2011, jam 2ptg hingga 6ptg di dewan kuliah Sekolah Menengah Foon Yew, JB. Petikan ini juga akan dimasukkan dalam koleksi artiker yang diterbit oleh penganjur khas untuk majlis ini.)
Mukadimah : Mei Satu - Perayaan kepada Pekerja Sedunia
Hari Pekerja Sedunia Mei Satu, yang jatuh pada 1hb Mei setiap tahun juga dikenali sebagai perayaan Mei Satu. Ia merupakan perayaan megah yang disambut oleh kelas proletariat dan kelas pekerja.
Di Malaysia, Hari Pekerja Sedunia “Mei Satu” hanya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1972 dan tidak diumumkan sebagai hari cuti wajib sehingga tahun 1979. Ini dicapai atas perjuangan kesatuan sekerja (terutamanya kesatuan sekerja sayap kiri yang progresif) dan Parti Buruh. Dukacitanya, sehingga kini kerajaan dan majikan masih berasa takut terhadap sambutan Hari Pekerja Sedunia oleh golongan pekerja. Mereka cuba sedaya-upaya untuk mengelirukan golongan pekerja supaya mereka salah menganggap bahawa Hari Pekerja Sedunia sekadar hari cuti untuk beristirehat atau bersuka ria sahaja, dan melupakan bahawa hari yang megah yang signifikan ini sebenarnya melambangkan semangat perjuangan kelas pekerja untuk hak dan kebajikan pekerja.
Dulu ramai pemimpin dan kadre gerakan pekerja ditangkap, ditahan dalam lokap, bahkan dipenjarakan jangka panjang oleh kerajaan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana menyambut Hari Pekerja dan memimpin golongan pekerja untuk memberanikan diri mengutarakan tuntutan mereka. Pengiktirafan Hari Pekerja Mei Satu sebagai hari cuti wajib untuk golongan pekerja negara kita merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan orang dahulu kita.
Oleh demikian, menyambut hari yang megah ini bukan sahaja supaya golongan pekerja dapat mempelajari semangat perjuangan dan perpaduan orang dahulu yang berani berkorban demi menuntut hak dan kebajikan pekerja, malah ia turut menginspirasi dan mendidik golongan pekerja supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi eksploitasi dan penindasan golongan pemerintah dan majikan, dan meneruskan perjuangan golongan pekerja terutamanya buruh untuk menuntut hak yang samarata, untuk membina sebuah masyarakat demokrasi tanpa penindasan dan eksploitasi.
Wujud Semula Demonstrasi Orang Ramai di Jalanraya Kuala Lumpur Sejak Operasi Lalang
Semenjak kerajaan menjalankan Operasi Lalang yang represif, selain daripada beberapa kumpulan yang progresif pernah mengadakan sambutan Mei Satu secara sporadis,turut terdapat sebahagian bekas ahli Parti Buruh yang pernah mengadakan jamuan Mei Satu di sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia. Antara program-program Mei Satu yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan berlainan di ruang terbuka, program sambutan yang diadakan oleh Jawatankuasa Mei Satu boleh dikatakan mempunyai pendirian yang paling jelas, dan imej yang paling menonjol. Sejak 1994, setiap tahun organisator dan pemimpin program tersebut bertekad untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia dengan cara perhimpunan atau perarakan, serta mengemukakan tuntutan rakyat Malaysia melalui pengumuman ‘Deklarasi Mei Satu’. Jawatankuasa ini berharap dapat mengingatkan golongan pekerja tentang semangat perjuangan melalui perayaan yang istimewa ini.
Pada 1hb Mei 1994, lebih kurang 3000 orang rakyat lapisan bawahan terutamanya pekerja ladang kaum India dan peneroka bandar kaum Melayu (dulu dikenali sebagai “penduduk kawasan setinggan”) telah mengadakan demonstrasi besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perhimpunan kali ini telah menerobos keganasan putih (white terror) sejak penangkapan 106 orang aktivis dalam Operasi Lalang pada tahun 1987. Rakyat sekali lagi mengemukakan tuntutan mereka melalui perhimpunan orang ramai di jalan raya.
Perhimpunan Mei Satu Anjuran Bersama 3 Organisasi Akar Umbi pada 1994
Tema Perhimpunan Mei Satu pada tahun 1994 ialah “Hak Untuk Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang”. Penganjur utama merupakan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB), Pusat Pembangunan Masyarakat (Community Development Center (CDC)) dan ALAIGAL. Ketiga-tiga kumpulan ini merupakan pertubuhan bukan kerajaan bersifat akarumbi yang giat memperjuangkan hak untuk golongan masyarakat yang ditindas dan dipinggirkan sejak 1980-an.
Hasrat penganjuran perhimpunan Mei Satu ini bermula daripada kumpulan CDC yang terdiri daripada lebih kurang 20 orang pemuda berpelajaran tinggi berumur antara 25-27 tahun. CDC yang ditubuhkan tidak melebihi 2 tahun pada masa itu telah mengemukakan hasrat mereka kepada kumpulan pekerja ladang lain yang majoriti ahlinya kaum India iaitu People Service Organization (PSO) dan Tholilar Tholar (TT). CDC ditubuhkan oleh lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1992, di mana ahlinya majoriti terdiri daripada kaum India. Mereka sangat berprihatin dan aktif menyertai perjuangan pekerja ladang terutamanya di sekitar kawasan Ulu Langat Selangor. Cadangan mereka untuk menganjurkan Perhimpunan Mei Satu bukan sahaja tidak mendapat sokongan pertubuhan pekerja ladang yang lebih berepresentasi, malah ada pemimpin pekerja ladang yang berpengalaman telah mengejek dan menyindir mereka sebagai‘amateurish’atau tengah berkhayal.
Walaupun disindir, pemuda-pemudi ini tidak goyah. Mereka terus mencari sekutu yang lain untuk bersama-sama menganjurkan perhimpunan ini. Akhirnya, mereka menjumpa 2 orang bekas ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Nasir Hashim (Pengerusi Parti Sosialis Malaysia sekarang dan ADUN Kota Damansara) dan V.Selvam. Mereka berdua terus berjanji untuk memberikan bantuan setelah mendengar cadangan CDC, dan mereka turut berjanji akan memobilasikan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB) untuk turut serta menganjurkan perhimpunan ini. JSPB diambilalih oleh Dr Nasir Hashim dan V.Selvam pada 1993 dan bergiat di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, aktif menyertai perjuangan hak perumahan dan tanah oleh peneroka Bandar yang majoriti terdiri daripada kaum Melayu.
Selepas itu, mereka berkunjung ke Ipoh Perak untuk menemui sebuah lagi kumpulan akarumbi ALAIGAL. ALAIGAL ditubuhkan pada tahun 1979 oleh beberapa lepasan Universiti Malaya. Ia juga merupakan sebuah kumpulan yang majoritinya kaum India yang giat menyertai perjuangan pekerja ladang. Mereka aktif di Sg Siput, Ipoh dan beberapa tempat di Perak. ALAIGAL bermaksud ‘Perjuangan yang berterusan’ dalam bahasa Tamil. Usaha CDC tidak disia-siakan kerana akhirnya ALAIGAL turut memutuskan untuk menyertai perhimpunan Mei Satu kali ini.
Pada 1hb Mei 1994 10 pagi, orang ramai dari pelbagai tempat berkumpul di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, memulakan program sambutan Hari Pekerja Sedunia Mei Satu. Walaupun pihak polis telah banyak kali cuba menghalang, perhimpunan aman ini tetap mengadakan protes sepanjang satu jam setengah, dan penganjur mengumumkan program berakhir dengan berjaya. Kejayaan perhimpunan ini telah memberi dorongan kepada kumpulan anjuran bersama dan orang ramai yang menyertainya. Selepas itu, program Mei Satu ini diadakan setiap tahun dengan berjaya. Program kali ini turut menjadi pemangkin kepada penbentukan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang dibentukkan oleh pekerja ladang dari ladang-ladang di Selangor dan Perak.
Jawatankuasa Mei Satu Dibentukkan Secara Rasmi pada 1998
Kumpulan penganjur bersama Program Mei Satu telah bertambah pada 1998 di bawah usaha sepanjang empat tahun oleh 3 kumpulan anjuran bersama yang asal Program Mei Satu tahun 1998 mendapat sokongan padu daripada banyak pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa parti pembangkang utama seperti DAP, PAS, PRM dan dinamakan jawatankuasa pengajur dengan kali pertamanya telah menggunakan nama “Jawatankuasa Mei Satu 1998”. Nama ‘Jawatankuasa Mei Satu’ dikekalkan sejak itu dengan hanya mengubah tahunnya.
Seramai 1500 orang pekerja berbilang kaum telah menyertai perhimpunan besar yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH). Penganjur program telah merancangkan program yang menarik, pekerja dari pelbagai sector telah memberi ucapan yang memberangsangkan. Selain daripada banner besar yang bertuliskan tema program, tuntutan rakyat kita pada masa itu turut dibentangkan di depan para hadirin di bawah iringan gendang dan gong .
Selain daripada 3 parti pembangkang utama yang disebutkan tadi, Jawatankuasa Mei Satu turut mendapat sokongan Parti Sosialis Malaysia yang baru dilahirkan. Sehari sebelum Mei Satu, iaitu 30hb April 1998, parti ini menyerahkan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk menubuhkan Parti Sosialis Malaysia, logo parti merupakan satu genggaman tangan berwarna putih di atas latar belakang logo yang berwarna merah cerah.(Selepas perjuangan sepanjang 10 tahun, PSM akhirnya Berjaya mendaftar pada 2008, dan kini mempunyai seorang Ahli Parlimen dan seorang ADUN).
‘Mei Satu Hitam’ pada 2001
Jawatankuasa Mei Satu sekali lagi menunjukkan semangat berani melawan dalam Program Mei Satu 2002. Aktiviti demonstrasi di jalanraya ibukota Kuala Lumpur telah senyap sejak polis menahan 10 orang pemimpin aktivis Reformasi di bawah ISA pada 2001. Sehingga Mei 2002, selepas banyak perbincangan dan perancangan, Jawatankuasa Mei Satu memutuskan sekali lagi memerobos keganasan putih dengan mengadakan perarakan protes sepanjang 3km dari Jalan Chow Kit ke Petronas Tower Kuala Lumpur, sebagai cara sambutan Mei Satu.
Pihak polis enggan melihat perarakan wujud lagi di jalanraya Kuala Lumpur lalu mereka menumpaskan barisan perarakan secara ganas selepas berarak sepanjang 1.5km. Sekumpulan besar polis di bawah pimpinan ACP Bakri Zinin, Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi, telah mematahkan barisan perarakan dengan kekerasan, dan menangkap lebih kurang 20 orang pemimpin dan orang ramai yang menyertai perarakan. Pihak polis turut menggunakan kekerasan untuk memaksa peserta program Mei Satu naik ke dalam bas dan memaksa bas meninggalkan kawasan Kuala Lumpur. Sambutan Mei Satu tersebut merupakan kali pertama polis menggunakan kekerasan terhadap program Mei Satu yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mei Satu. Mereka berniat menghalang supaya program itu tidak dapat dijalankan seperti yang dirancangkan. Mei Satu tahun tersebut digelar sebagai ‘Mei Satu Hitam’ dalam sejarah sambutan Hari Pekerja Sedunia oleh Jawatankuasa Mei Satu.
Namun, semangat perjuangan Jawatankuasa Mei Satu tidak dipatahkan oleh polis. Mereka telah memobilisasikan kumpulan-kumpulan masyarakat untuk membuat lebih daripada 50 laporan polis, mengecam tindakan polis yang keterlaluan dan menuntut tindakan diambil ke atas pegawai-pegawai polis yang bertindak secara kejam. Di bawah tekanan yang diberi oleh pertubuhan-pertubuhan sivil, KPD Bakri dipindahkan dari Dang Wangi ke Bukit Aman. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah disebabkan pretasi beliau yang ‘unggul’.
Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Pemangkin Utama
Selepas banyak tahun bekerjasama di atas asas Jawatankuasa Mei Satu dan JSML, sebilangan kumpulan akarumbi yang terdiri daripada lapisan bawah, telah bergabung untuk menubuhkan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) pada 2002. Terdapat 4 sektor di bawah jaringan ini, iaitu Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML), Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) dan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP). Jaringan ini sangat berprihatin dan giat mempertahankan hak pekerja kilang, pekerja ladang, peneroka Bandar, orang asli dan kumpulan masyarakat lain yang paling tertindas. Sejak itu, JERIT telah menjadi pendorong utama Jawatankuasa Mei Satu.
SUARAM JB, Persahabatan Semparuthi Turut Menganjur Bersama pada 2007
Program Sambutan Mei Satu pada 2007 telah beralih ke Johor Bahru. Selain daripada JERIT, Jawatankuasa Mei Satu 2007 turut disertai oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) JB, Persahabatan Semparuthi, beberapa Jawatankuasa Penduduk dan parti-parti pembangkang. Program tersebut berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 1hb Mei di padang Majlis Bandaraya Johor Bahru. Lebih kurang 1000 orang pekerja kilang, petani, nelayan, peneroka bandar, anak muda dan pelajar telah menyertai program Mei Satu tersebut yang bertemakan “50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah”.
Selain daripada Johor, Jawatankuasa Mei Satu juga pernah mengadakan program sambutan Mei Satu di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain tempat di luar Kuala Lumpur dan Selangor. Dalam hari yang melambangkan perpaduan dan perjuangan kaum pekerja sedunia ini, tindakan Jawatankuasa Mei Satu memperjuangkan hak warga pekerja berbilang kaum yang paling tertindas dengan cara perhimpunan atau perarakan, dan memperkukuhkan perpaduan kaum pekerja seluruh Negara merupakan sumbangan yang paling besar dan bermakna Jawatankuasa Mei Satu dan JERIT terhadap gerakan demokrasi dan hak asasi manusia Negara kita pada peringkat ini.
Tema dan Tempat Sambutan Mei Satu Setiap Tahun Berlainan
Berikut merupakan tempat dan tema program sambutan Mei Satu setiap tahun bermula dari tahun 1994:
1994: Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Hak Untuk Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang”
1995 : Jabatan Perdana Menteri
“Sertakan Masyarakat Ladang Dalam Pembangunan Luar Bandar”
1996 : Ladang Bukit Raja Selangor
“Gaji Bulanan Untuk Pekerja Ladang”
1997 : Kampung Chupadak Selangor
“Rakyat Menuntut Keadilan: Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang”
1998 : Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor
“Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, Pekerja Ditindas”
1999 : Kampung Sungai Nipah Selangor
“Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen”
2000 : Ladang Stratasila Perak
“Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima”
2001 : Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur
“Pembangunan Saksama Untuk Semua”
2002 : Dari Jalan Chow kit ke Menara Berkembar Petronas (dihalang oleh polis dalam separuh perjalanan)
“Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji, Kesatuan”
2003 : Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Perang Kapitalis, Pekerja Merana”
2004 : Jalan Padang Kota Lama Georgetown, Pulau Pinang
“Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati”
2005 : Dataran Merdeka Kuala Lumpur
“Globalisasi Menghakis Hak Pekerja, Hentikan Penswastaan Air dan Hospital”
2006 : Perarakan dari Dataran Merdeka Kuala Lumpur ke Menara Petronas
“Pekerja Menentang Penswastaan Air dan Hospital”
2007 : Padang Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor
“50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah”
2008 : Perarakan dari Dataran Merdeka Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Confucian
“Pekerja Kuasa Perubahan, Laksanakan Janji Pilihanraya”
2009 : Seremban Negeri Sembilan
“risis Ekonomi: Selamatkan Pekerja Bukan Kroni”
2010 : Tempat Letak Kereta Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor
“Rakyat Bantah GST–Cukai yang Miskinkan Rakyat”
Tahun ini, ‘Jawatankuasa Mei Satu 2011’ merancang untuk mengadakan perarakan dari Jalan Chow Kit ke Dataran Merdeka, dan mengadakan perhimpunan aman di sana. Ucapan wakil pekerja pelbagai sektor dan perasmian deklarasi Hari Pekerja 2011 akan diadakan di Dataran Merdeka. Tema tahun ini berbunyi ‘Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi?’—Pekerja menuntut Akta Gaji Minima’. Tema ini cukup sesuai dengan keadaan terkini dimana tekanan hidup rakyat jelata semakin berat kerana harga barangan runcit yang melambung tinggi dewasa ini. Tema ini juga telah menunjukkan tuntutan pekerja pelbagai kaum seluruh negara yang menuntut kenaikan gaji dan pernambahbaikan hidup.
Walaupun tema program Mei Satu berlainan dari tahun ke tahun, tetapi prinsip asas Jawatankuasa Mei Satu tetap kekal iaitu menyampaikan suara kaum pekerja terutama golongan yang paling tertindas, tanpa mengira apa perubahan yang telah berlaku dalam masyarakat , tabah memperjuangkan hak dan keperluan asas kehidupan kaum pekerja terutamanya mereka yang miskin papa.
Isu-isu seperti meluluskan Akta Gaji Minima, menggubal undang-undang untuk melindungi kebebasan menubuhkan kesatuan pekerja, menghapuskan cukai yang membebankan pekerja, menghentikan penswastaan perkhidmatan air, kesihatan dan perkhidmatan asas yang lain, mansuhkan akta-akta yang zalim, melindungi pekerjaan dan kehidupan, mengawal inflasi dan lain-lain merupakan tuntutan desak kaum pekerja Malaysia pada masa kini. Golongan pemerintah dan golongan kapitalis besar mesti tidak akan merealisasikan tuntutan rakyat ini. Hasrat yang baik ini hanya akan tercapai sekiranya rakyat dan bangsa yang tertindas bersatu padu untuk memperjuangkannya.