2010年9月22日星期三

Pertemuan Dengan Mursyidul Am PAS – Tuan Guru Nik Abdul Aziz



Pertemuan Dengan Mursyidul Am PAS –
Tuan Guru Nik Abdul Aziz



Nyam Kee Han



Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (Friends Of SUARAM, FOS) Johor (singkatan “JK FOS Johor”) memutuskan untuk mengadakan satu forum bertajuk “Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO” sempena ulangtahun ke-sembilan Jawatankuasa Kerja FOS Johor. JK FOS Johor berkeputusan untuk mengundang 3 pemimpin politik yang signifikan yang mewakili bangsa Melayu, Cina dan India dan mempunyai sokongan akar umbi. Mereka yang di dalam senarai adalah Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Nik Aziz), Penasihat Politik dan Strategi Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party – DAP), YB Lim Kit Siang serta Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Encik S. Arutchelvan.

Saya telah diserahkan satu tanggungjawab yang penting oleh Jawantankuasa Forum JK FOS Johor (Jawatankuasa Forum), iaitu berhubung dengan Nik Aziz. Ini mungkin disebabkan oleh hubungan rapat saya dengan golongan Melayu, terutamanya PAS Johor, semasa saya adalah koordinator untuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) cawangan Johor Bharu merangkap setiausaha bertindak JK FOS Johor. Tanggungjawab yang bakal jatuh atas bahu ini amatlah menekankan. Setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk memikul tanggungjawab ini. Keputusan ini dibuat atas beberapa sebab, salah satunya demi meringankan rasa terhutang saya terhadap Jawatankuasa Forum atas ketidak-hadiran saya dalam beberapa mesyuarat Jawatankuasa Forum dan sumbangan tenaga yang kurang dalam jawatankuasa ini setelah saya menjadi salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Persendirian Pei Chun, Pontian.


Berhubung Dengan 3 Pembantu Khas Nik Aziz

Oleh yang demikian, saya telah menggunakan masa rehat sekolah untuk berhubung dengan Nazman Che Ibrahim (Beliau merupakan seorang kawan lama dan seorang aktivis di Johor yang pernah mewakili Dewan Pemuda PAS dalam Jawatankuasa Bertindak Pulihkan Pengajaran Metamatik dan Sains Dalam Bahasa Ibunda, satu jawantankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil daripada JK FOS Johor dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain. Kami telah bekerjasama selama satu tahun dalam usaha menjalankan soal-selidik di sekolah-sekolah aliran masing-masing). Saya mengharapkan beliau dapat membantu untuk menghubungi Nik Aziz dalam masa yang terdekat. Atas bantuan beliau, kami telah menghubungi 3 pembantu khas Nik Aziz – Ustaz Fadhli Shaari (Setiausaha/Pembantu Media), Encik Rusdi (Setiausaha Peribadi) dan Encik Wan Nik Wan Yussof (Setiausaha Politik). Apabila saya memberitahu kepada Ustaz Fadhli dan Encik Rusdi berkenaan dengan tajuk dan matlamat forum (serta tujuan kami untuk mengundang Nik Aziz menjadi salah seorang panelis forum), mereka turut mencadangkan agar saya berbincang perkara tersebut dengan Setiausaha Politik Nik Aziz, Encik Wan Nik.

Dalam dialog menerusi telefon dengan Encik Rusdi, beliau mengatakan bahawa Nik Aziz tidak biasa menjadi panelis dalam forum (terutamanya terdapatnya panelis yang lain dalam forum tersebut), dan Nik Aziz lebih sesuai menjadi penceramah dalam ceramah umum. Keduanya, beliau juga mengatakan bahawa Nik Aziz tidak fasih dalam tajuk forum kami dan beliau mencadangkan kami supaya menjemput Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Haji Husam Musa, kerana beliau lebih fasih dalam tajuk/kandungan forum dan beliau lebih sesuai menjadi panelis forum. Tambahan Encik Rusdi, Nik Aziz adalah sesuai sekiranya tajuk forum kami adalah berkenaan dengan isu-isu agama. Saya meminta agar beliau membalas secara bertulis kedua-dua perkara yang disebut sebagai penjelasan rasmi kepada JK FOS Johor, tetapi ditolak oleh beliau.


Nazman Cadangkan Agar Bertemu Secara Langsung Dengan Nik Aziz


Dalam perbualan telefon tersebut, saya turut bertanya kepada Encik Rusdi samada wakil-wakil JK FOS Johor boleh bertemu dengan Nik Aziz secara langsung, beliau terus menjawab: “Tiada masalah. Saya boleh mengaturkan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabat beliau.” Sejurus selepas itu, saya telah memberitahu perkembangan terkini kepada saudara Nazman dan beliau bersetuju dengan komen-komen yang diberikan oleh Encik Rusdi. Menurut saudara Nazman, Dato’ Haji Husam Musa adalah calon yang lebih sesuai menjadi panelis forum. Husam Musa merupakan pembantu politik Niz Aziz selama lebih kurang 20 tahun, pandangan politik Husam Musa mendekati pandangan politik Nik Aziz dan ini diiktiraf secara umum oleh semua ahli PAS. Namun demikian, saudara Nazman berkeras agar kami dapat bertemu dengan Nik Aziz dan melafazkan hasrat ikhlas kami untuk menjemput Nik Aziz menjadi panelis forum secara langsung.

Pada 8hb September 2010, pukul 12:30 tengahari, kami berpeluang bertemu dengan Nik Aziz di Bangunan Kerajaan Negeri Kelantan. Saya berasa amat gembira dan gugup kerana berpeluang bertemu dengan salah seorang pemimpin politik yang terkenal di Negara kita, Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setelah berurusan dengan Setiausaha Peribadi Niz Aziz, saya perasan bahawa untuk bertemu dengan Nik Aziz bukan merupakan satu perkara yang susah. Pertemuan ini dapat berlangsung dan ianya dapat ditetapkan dalam masa yang terdekat ini hanya dengan satu dialog telefon dengan Encik Rusdi sahaja. Perkara ini tidak berlaku atas kebanyakan pemimpin politik yang setaraf dengan Nik Aziz. Ini telah jelas mencerminkan status pimpinan politik Nik Aziz yang luar biasa.

Kami tiba di Bangunan Kerajaan Negeri Kelantan pada pukul 11:30 pagi (setengah jam lebih lambat daripada masa perjanjian pertemuan). Saya dapat merasakan kemesraan kakitangan di dalam Bangunan Kerajaan Negeri sebaik sahaja saya tiba di situ. Ini tidak sama sekali berlaku di dalam Bangunan Kerajaan Negeri Johor yang mana kakitangannya bersikap tidak mesra dan birokrasi. Pertemuan kami dengan Nik Aziz terpaksa ditundakan kerana kami telah lambat dan beliau telahpun bertemu dengan pihak yang lain pada masa kami tiba.


Berhasrat Supaya Nik Aziz Menjadi Salah Seorang Panelis Forum


Pada pukul 12:30 tengahari, tibalah giliran kami untuk bertemu dengan Nik Aziz di dalam pejabat beliau. Kami mendapat layanan yang mesra daripada Encik Wan Nik. Saya telah diaturkan untuk duduk di tempat yang paling dekat dengan Nik Aziz. Pada ketika itulah, kami diberitahu bahawa pertemuan kali ini akan berakhir selepas setengah jam. Saya terus berasa cemas dan bimbang bahawa kami tidak dapat meyakinkan Nik Aziz untuk menjadi salah seorang panelis forum dalam masa yang begitu singkat. Tanpa melengahkan masa, saya pun memperkenalkan JK FOS Johor dan menjelaskan tujuan pertemuan kami pada kali ini kepada beliau. Perasaan cemas dan percakapan saya yang terburu-buru pada ketika itu masih jelas dalam ingatan. Kini saya imbas kembali, percakapan saya yang gugup tersebut merangkumi butir-butir seperti: JK FOS Johor merupakan satu badan bukan kerajaan di bawah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi di Malaysia; Kami bukan merupakan parti politik dan bukan kepunyaan mana-mana parti politik, namun kami akan berjuang bersama-sama dengan segala kuasa yang mempertahankan demokrasi dan hak-hak asasi manusia; Kami bersedia berganding bahu dengan mana-mana parti politik, badan/pertubuhan ataupun perseorangan yang bersetuju bahawa pemerintahan rejim UMNO merupakan pokok pangkal korupsi di Negara kita dan kesengsaraan rakyat, untuk bersama-sama berusaha menguburkan pemerintahan UMNO. Selain daripada itu, saya mengatakan bahawa JK FOS Johor memutuskan untuk mengadakan satu forum yang bertajuk “Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO” berdasarkan situasi politik Negara kita pada masa kini dan bersempena dengan ulangtahun yang ke-sembilan JK FOS Johor. Kami akan mengundang 3 orang pemimpin politik yang berkedudukan dan berrepresentasi untuk menyampaikan pandangan mereka tentang apakah Negara kita kini cenderung kepada pemerintahan kuku besi (fasis) dan bagaimanakah rakyat harus bertindak. Kami amat berharap beliau (Nik Aziz) akan bersetuju untuk menjadi salah seorang panelis.


Mereka Yang Bersifat Perkauman Sempit Jauh Ketinggalan Di Belakang Nik Aziz

Setelah mendengar percakapan saya yang bertubi-tubi, Nik Aziz baru mula bercakap. Beliau bermula dengan menjelaskan bahawa beliau kepunyaan satu parti politik, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan beliau seorang yang beragama Islam. Beliau mengatakan bahawa rasuah dan korupsi tiada dalam ajaran Islam, dan Islam sebenarnya telah merangkumi segala tuntutan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Oleh itu, beliau menasihati kami untuk menyertai PAS. PAS bukan lagi satu parti politik yang hanya menerima orang yang beragama Islam, malah orang bukan Islam boleh bertanding atas nama PAS dalam pilihanraya yang akan datang. Tambahan beliau, beliau sudi memberi tunjuk ajar kepada kami mengenai Islam sekiranya kami sudi memeluk agama Islam, bahkan beliau akan memberi sokongan supaya kami (orang Cina) berpeluang untuk menjadi Menteri Besar Negeri Kelantan (dengan syarat kami adalah Muslim).

Seterusnya, Nik Aziz bertanya samada kami tahu tentang sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Beliau berkata, Islam sampai di Tanah Melayu 500 tahun lalu, iaitu pada zaman Parameswara, tetapi Islam sampai di Negara China lebih 1,100 tahun yang lalu. Ini bermaksud tamadun Islam mula bertapak di Negara China 600 tahun lebih awal daripada Islam memasuki Tanah Melayu. Orang daripada Negara China yang membawa Islam ke Tanah Melayu, kata beliau. Beliau juga sebut mengenai ketiga-tiga cucunya ada belajar bahasa Cina dan beliau mempunyai seorang anak angkat warganegara China. Seorang anak kepada anak angkat tersebut yang berada di bawah jagaan beliau baru sahaja mendapat kewarganegaraan Malaysia. Beliau turut bergurau bahawa beliau ingin berkahwin dengan seorang isteri Cina. Suasana menjadi kurang tegang dan lebih senang hati. Perbualan dengan Nik Aziz membuatkan saya memahami bahawa beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang buka minda, malah beliau seorang pemimpin politik yang berani dan terus terang. Pemikiran beliau yang terbuka dan gaya beliau yang jujur jauh lebih baik daripada mereka-mereka yang berfikiran perkauman yang sempit.


Balik Kepada Tujuan Asal Pertemuan

Perbualan kami agak terlencong dan Saudara Nazman telah bantu kami balik kepada matlamat asal pertemuan pada kali ini. Kami terus menjelaskan tentang hasrat kami mengundang beliau sebagai salah seorang panelis kerana beliau merupakan seorang pemimpin Islam yang mewakili golongan Melayu di Negara kita. Gandingan beliau dengan dua orang lagi panelis yang mewakili golongan Cina dan India supaya duduk bersama memberi pandangan masing-masing berkenaan adalah pemerintahan UMNO menuju kearah kuku besi, serta memberi pendapat bagaimana menguburkan pemerintahan UMNO, pasti menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia. Selain daripada itu, pada ketika UMNO-BN di ambang keruntuhan, sekiranya setiap parti politik dan pertubuhan yang menjaga kepentingan rakyat dapat bersama-sama melaungkan hasrat untuk kuburkan rejim UMNO di atas kubu kuat UMNO, iaitu Johor, pasti agak bermakna. Begitulah maksud yang ingin diperjelaskan kepada Nik Aziz pada hari tersebut. Saya berasa agak hampa kerana cemas dan tidak dapat membawa mesej ini dengan jelas dan nyata dalam bahasa Melayu. Saya ingin meminta maaf atas kekurangan/kesilapan saya jikalau penjelasan saya pada hari itu mengelirukan dan menyebabkan apa-apa salah faham.


Sebaliknya, Nik Aziz memuji kami. Beliau berkata: “Saya berasa bangga, saudara masih muda tapi sudah ada kesedaran politik yang tinggi.” Saya berasa amat senang hati apabila beliau berkata demikian. “Sayalah orang pertama yang nak kuburkan UMNO ini.”, kata beliau dengan nada yang gembira. Apabila saya ingin bertanya maksud itu lebih lanjut, Beliau bersambung, “Katakanlah saya boleh hadir forum anjuran anda” Beban atas bahu saya seakan-akan menjadi ringan setelah mendengar ayat tersebut. Hati saya berbisik, “Adakah usaha kami telah berjaya?” Kemudiannya, beliau melafazkan kerisauan akan keadaan kesihatan beliau untuk jalan jauh. Kami turut berasa bimbang. Tentulah kami amat berharap beliau dapat menghadiri forum kami. (Selepas pertemuan tersebut, Nik Aziz telah membuat keputusan untuk menghadiri forum.)

Kami ingin melafazkan penghargaan kami atas kesudian Nik Aziz menghadiri forum dan menjadi salah seorang panelis forum. Kami berharap hubungan SUARAM (cawangan Johor Bharu) dan JK FOS Johor dengan PAS akan menjadi lebih rapat selepas ini. Kami percaya bahawa ini bukan sahaja hasrat kami, tetapi hasrat pelbagai lapisan masyarakat yang ingin mempertahankan demokrasi dan hak dan yang ingin memperjuangkan kesamarataan. Diharapkan bahawa rakyat berbilang bangsa boleh bekerjasama atas dasar United Front, berjuang bersama sehingga berjaya menguburkan rejim UMNO.

13hb September, 2010


Article telah papar dalam Tranung Online
Pengalaman bertemu MB Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
http://tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=7989

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=print&sid=7989%5C

没有评论: